Pemergian STAR, SAPP Isyarat Penting Kepada PH yang Tuntut Banyak Kerusi –...

Pemergian STAR, SAPP Isyarat Penting Kepada PH yang Tuntut Banyak Kerusi – Masidi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun, menyifatkan keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) untuk bertanding atas logo sendiri sebagai isyarat penting kepada Pakatan Harapan (PH) agar tidak terlalu menuntut kerusi dalam rundingan pembahagian menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Menurut Masidi, pemergian dua parti tempatan itu harus dijadikan teladan bahawa agihan kerusi antara GRS dan PH perlu dilaksanakan secara seimbang bagi memastikan segmen politik tempatan kekal kukuh serta tidak menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakan gabungan.

“Salah satu sebab yang dinyatakan oleh STAR apabila mereka keluar ialah kerana mereka rasa kita terlalu memberi banyak kerusi kepada PH, ini harus menjadi pengajaran.

“Dalam rundingan kali ini, saya berharap PH memahami mengapa GRS perlu memperoleh bahagian kerusi yang lebih besar untuk memastikan segmen lokal kekal kuat dan stabil,” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengakui bahawa tindakan STAR dan SAPP meninggalkan GRS sedikit sebanyak memberi kesan kepada gabungan itu, namun menegaskan perkara tersebut tidak akan menjejaskan kekuatan struktur rundingan kerusi secara keseluruhan.

“Ya, sudah pasti ada kesan. Kita tidak boleh menafikannya. Tetapi akhirnya rakyat yang akan memilih, sama ada mereka mahu kestabilan politik atau sekadar memenuhi tuntutan emosi politik,” katanya.

Masidi berkata, meskipun berlaku perubahan dalam gabungan, GRS masih mempunyai Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai tunjang utama yang mewakili komuniti Kadazan-Dusun-Murut (KDM) dan memastikan keseimbangan dalam agihan kawasan.

Beliau menegaskan bahawa perbezaan pandangan dalam politik adalah lumrah dan tidak harus dilihat sebagai tanda perpecahan, sebaliknya sebagai proses kematangan dalam sistem demokrasi.

“Dalam politik, kita bukan sahaja tidak menghalang pemergian orang daripada kumpulan kita, malah kita harus meraikan perbezaan politik. Itulah asam garam demokrasi. Asas kepada demokrasi yang matang ialah kesediaan untuk tidak bersetuju,” katanya.

Masidi yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan mengingatkan bahawa keadaan politik Sabah sentiasa dinamik dan boleh berubah dengan pantas, menuntut semua pihak agar lebih realistik dan berlapang dada dalam berpolitik.

“Tidak ada yang mustahil dalam politik. Politik tidak berubah dengan tahun, ia berubah dengan hari, malah dengan jam,” tegasnya.