KOTA KINABALU, 10 Oktober — Ketua Bahagian Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) N62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata isu kebersihan dan pengurusan sampah bukan hanya berlaku di Semporna seperti yang dibangkitkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, tetapi turut menjejaskan kawasan pesisir di Lahad Datu.
Beliau berkata, masalah kebersihan yang semakin ketara dan tular di media sosial perlu dipandang serius kerana ia bukan sahaja mencemar imej daerah pelancongan seperti Semporna, tetapi turut memberi kesan kepada reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
“Saya sangat setuju dengan teguran yang dibuat oleh Menteri Nga Kor Ming kerana Semporna merupakan daerah tumpuan pelancong luar negara.
“Sepatutnya kebersihan dan keindahan bandar itu sentiasa dijaga,” katanya ketika ditemui Sabah News.
Mizma berkata, walaupun isu kebersihan di Semporna kini mendapat perhatian, masalah serupa sebenarnya turut berlaku di beberapa kawasan di Lahad Datu, terutama di kawasan pesisir pantai.
“Kalau kita lihat, masalah sampah ini bukan di Semporna sahaja. Di Lahad Datu pun ada isu yang sama, terutama di kawasan berhampiran pantai. Mungkin selama ini kita terlepas pandang cara terbaik untuk menangani masalah ini,” katanya.
Menurut beliau, punca utama masalah kebersihan bukan semata-mata kelemahan pihak berkuasa tempatan, tetapi turut disebabkan oleh mentaliti dan kesedaran masyarakat yang masih rendah terhadap kepentingan menjaga kebersihan.
“Antara faktor yang menyumbang ialah kurangnya kesedaran sivik, terutama dalam kalangan penduduk yang tinggal di kawasan pesisir termasuk penduduk tanpa izin (PTI). Mereka ini tidak terdedah dengan amalan kebersihan dan tinggal di kawasan yang tiada kemudahan pelupusan sampah,” ujarnya.
Mizma yang juga Pemimpian Pembangunan Masyarakat (PPM) di Lahad Datu berkata sudah tiba masanya semua pihak — termasuk pemimpin setempat dan komuniti — berganding bahu melaksanakan program kesedaran awam secara berterusan bagi meningkatkan tahap kebersihan di kawasan masing-masing.
“Kesedaran ini tidak boleh sekadar dilakukan sehari dua, tetapi perlu berterusan. Setiap pemimpin dan masyarakat mesti memainkan peranan untuk memastikan kawasan mereka bersih,” katanya.
Beliau turut menyokong inisiatif kerajaan negeri di bawah Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Blue Economy, yang menekankan aspek kelestarian dan pembangunan mampan sektor pelancongan.
“Kita ibarat menyambut tetamu di rumah sendiri. Jadi, pastikan rumah kita bersih dahulu sebelum pelancong datang,” katanya.






