KOTA KINABALU: Pertembungan dua beranak dijangka mewarnai saingan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) apabila Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengumumkan Razzidin Robert, anak kepada penyandang kerusi tersebut Datuk Robert Tawik, sebagai calon baharu parti itu.
Menurut laporan Sabah Gazette, keputusan tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada generasi muda untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan STAR di kawasan Bingkor, sekali gus memperkukuh pengaruh parti di pedalaman Keningau.
Razzidin yang kini memegang jawatan Timbalan Ketua Exco Wiramuda STAR dianggap sebagai pelapis muda berpotensi dan akan mewakili wajah baharu parti dalam mempertahankan kerusi tersebut.
Sementara itu, Ketua Exco Wiramuda STAR, Jordan Jude Ellron, menyifatkan pemilihan Razzidin sebagai langkah tepat bagi menampilkan kepimpinan baharu yang progresif tanpa mengetepikan jasa dan pengalaman generasi terdahulu.
Kerusi DUN Bingkor sebelum ini disandang oleh Datuk Robert Tawik sejak PRN 2020, dan langkah STAR menamakan anak beliau sebagai calon mencetuskan tanda tanya sama ada pertembungan simbolik antara bapa dan anak bakal menjadi tumpuan utama dalam PRN Sabah kali ini.
Terdahulu Robert Tawik antara lima ADUN STAR yang dilaporkan kekal menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengumumkan tindakan keluar GRS dan bertanding solo pada PRN-17.
Selain STAR, SAPP yang diketuai bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee turut mengumumkan perkara sama, iaitu keluar GRS dan bertanding solo.






