KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang minyak diesel dalam satu operasi Ops Tiris di sekitar Jalan Datuk Panglima Banting di Penampang pada Isnin.
Pengahrahnya, Georgie Abas berkata, sepasukan pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat KPDN Sabah bertindak menyerbu sebuah lori kotak jenama yang membuat pembelian minyak diesel di sebuah stesen minyak pada jam 11 pagi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lori tersebut mempunyai tangki tambahan jenis fiber berada di belakang lori dan disyaki mengandungi minyak diesel anggaran 206 liter.
“Lori dan minyak diesel seterusnya disita bertujuan siasatan lanjut kerana pemandu gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli dan membawa minyak diesel yang disimpan di dalam tangki tambahan selain tangki minyak kenderaan,” katanya.
Georgie berkata nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM 30,442.
“Pemandu lori warga tempatan berumur 31 tahun turut ditahan bagi tujuan membantu siasatan.
“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya.






