KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket permohonan kad pengenalan palsu menerusi Op Pugo yang dilaksanakan di sekitar Kota Kinabalu, Papar, Keningau dan Sandakan pada 7 hingga 12 Mei lalu.
Dalam operasi berkenaan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Sabah menahan sembilan suspek terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita melibatkan warganegara Malaysia, Filipina dan Indonesia.
Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai menawarkan bantuan mendapatkan Kad Pengenalan Malaysia kepada warga asing serta individu yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Polis turut merampas pelbagai dokumen dan peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut termasuk kad pengenalan, sijil lahir, pasport, telefon bimbit, komputer riba, pencetak serta tiga buah kenderaan.
Sebanyak 262 barang kes dirampas sepanjang operasi dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Polis Diraja Malaysia menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan tawaran mendapatkan dokumen pengenalan secara tidak sah dan sentiasa berurusan melalui saluran rasmi kerajaan.






