KOTA KINABALU: Karnival Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah Zon Tenom berjaya merekodkan jumlah jualan tunai keseluruhan melebihi RM259,000 sekali gus membuktikan peranan sektor PMKS sebagai pemacu ekonomi rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kejayaan penganjuran karnival itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan usahawan tempatan melalui pelbagai inisiatif keusahawanan dan platform pemasaran.
“Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh pembangunan PMKS melalui pelbagai inisiatif keusahawanan, penyediaan platform pemasaran serta sokongan berterusan kepada usahawan tempatan agar mereka lebih berdaya saing dan mampu memperluaskan pasaran produk masing-masing.
“Karnival seperti ini bukan sahaja membuka peluang jualan kepada usahawan, malah turut menjadi medium jaringan perniagaan, promosi produk dan penglibatan komuniti dalam aktiviti ekonomi setempat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, sepanjang tiga hari penganjuran bermula 1 hingga 3 Mei lalu, lebih 10,000 pengunjung direkodkan hadir dengan kehadiran tertinggi dicatatkan pada hari terakhir program.
Katanya, sebanyak 99 gerai jualan mengambil bahagian melibatkan 36 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta 63 penjaja dan peniaga kecil yang menawarkan pelbagai produk termasuk makanan, minuman, kraftangan, produk hiliran dan produk komuniti setempat.
“Daripada jumlah keseluruhan jualan sebanyak RM259,560.77 yang direkodkan, usahawan DIDR mencatat jualan sebanyak RM60,020.77 manakala penjaja dan peniaga kecil pula merekodkan jualan sebanyak RM199,540.00,” katanya.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan Karnival Usahawan PMKS Sabah Zon Tenom termasuk Persatuan Etnik Murut Timugon, Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah serta pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.






