Anwar Tiba di Sabah

Anwar Tiba di Sabah

0
SHARE
Anwar
Hajiji bersalaman ketika menyambut ketibaan Anwar di KKIA ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) untuk lawatan kerja sehari ke negeri ini kira-kira jam 11.40 malam tadi.

Ketibaan Anwar disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M.Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong, Menteri-menteri Kabinet negeri serta pemimpin-pemimpin masyarakat.

Hadir sama menteri pengiring, Menteri Luar Negeri Senator Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang dijadual menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini (Sabtu).

Program yang bertemakan ‘Perpaduan Dalam Perayaan’ itu dijangka menarik kehadiran lebih 20,000 tetamu dan bakal diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni.

Sementara itu, di Terminal 1 KKIA, Menteri Komunikasi Malaysia Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pula tiba pada jam 9.15 malam tadi menerusi penerbangan komersil.

Diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Fahmi disambut oleh Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Ratnawati Talib serta beberapa pegawai dari agensi di bawah Kementerian Komunikasi. — JABATAN PENERANGAN SABAH