PETALING JAYA – Empat Ahli Parlimen BERSATU Sabah yang telah mengumumkan keluar dari parti terbabit mesti mengosongkan kerusi masing-masing sekiranya peletakan jawatan mereka diterima.
Memetik sumber FMT dan Berita Harian, empat Ahli Parlimen terbabit terdiri daripada Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), yang turut terlibat dalam penggubalan undang-undang anti-lompat parti, Datuk Seri Dr Junaidi Tuanku Jaafar, menegaskan pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan di semua kawasan Parlimen tersebut.
Menurutnya, ia bukan satu persoalan sama ada empat Ahli Parlimen itu bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau mewakili mana-mana gabungan lain, kerana ia hanya relevan sama ada mereka meninggalkan parti mereka.
Selain itu, beliau juga menolak cadangan bahawa BERSATU Sabah adalah entiti berasingan daripada BERSATU Persekutuan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak akan membenarkan permohonan sedemikian.
“Saya merangka undang-undang itu untuk melarang perkara seperti ini berlaku dan untuk mewujudkan kestabilan politik dalam negara,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Junaidi turut berkata peletakan jawatan empat Ahli Parlimen itu perlu diterima secara rasmi Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi mengesahkan mereka telah keluar parti.
“Jika ya, mereka perlu mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil perlu diadakan,” katanya.
Mengikut undang-undang anti-lompat parti, yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka melompat ke parti lain.
Pengecualian untuk Ahli Parlimen yang dipecat parti atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.
Mengulas lebih lanjut, berdasarkan prosedur, Ahli Parlimen akan memaklumkan Speaker Dewan Rakyat berlaku kekosongan dan selepas pengesahan, beliau akan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kerusi itu diisi dalam masa 60 hari.
“Apabila speaker mengesahkan fakta bahawa peletakan jawatan Ahli Parlimen itu diterima parti, mereka akan kehilangan kerusi mereka…