KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di TUJUH (7) lokaliti di Sabah serta masing-masing SATU (1) lokaliti di Negeri Sembilan dan Pahang berkuatkuasa 14 Jun (Isnin) hingga 27 Jun ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti di Sabah melibatkan Kampung Indah di Nabawan; Kampung Manggis, Kuala Penyu; Taman Kinabutan Ria dan Simpang Inderasabah, Tawau; Kampung Baru (SFI), Sipitang; serta Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan, di Kota Belud.
Turut dikuatkuasakan PKPD di Kampung Lakai dekat Jelebu, Negeri Sembilan; dan kawasan Kampung Raja di Cameron Highlands, Pahang yang melibatkan Sungai Ikan, Blue Valley, Taman Matahari Cerah, Taman Desa Corina dan Kampung Baru Kampung Raja.

“Langkah ini dilaksanakan bagi memutuskan rantaian jangkitan, dengan menghalang pergerakan masuk individu luar ke dalam kawasan tersebut, selain menyekat penularan wabak ke lokasi lain,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.





