JEDDAH – Arab Saudi mengeluarkan arahan kepada jemaah umrah asing dikehendaki untuk meninggalkan negara itu selewat-lewatnya 29 Zulkaedah atau 7 Jun ini.
Kementerian Haji dan Umrah dalam satu kenyataan menjelaskan arahan itu bagi memastikan kelancaran perjalanan jemaah haji ke kota suci Makkah dan Madinah bagi musim 1445.
Portal berita Saudi Gazette melaporkan kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab beberapa pertanyaan dikemukakan di akaun X kementerian.
Ini berikutan laporan awal bahawa tarikh akhir pemegang visa umrah memasuki Arab Saudi tahun ini ialah pada 15 Zulkaedah 1445 atau 24 Mei dan sah visa umrah adalah tiga bulan dari tarikh pengeluarannya, bukannya tarikh kemasukan ke negara ini.
Memetik laporan BH, Arab Saudi juga menetapkan tempoh visa umrah jemaah asing selama 90 hari bermula dari tarikh kemasukan mereka ke negara ini.
Kementerian menegaskan tidak akan ada lanjutan visa umrah selepas tamat tempoh 90 hari.
Visa umrah juga tidak boleh ditukar kepada visa lain.