11 Penjawat Awam Sabah Dilantik Sebagai Pegawai Integriti Di Setiap Kementerian

11 Penjawat Awam Sabah Dilantik Sebagai Pegawai Integriti Di Setiap Kementerian

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sebelas (11) penjawat awam Sabah hari ini dilantik sebagai Pegawai Integriti dalam Kementerian masing-masing melalui Program Hari Integriti Negeri Sabah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong berkata ini sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri bagi meningkatkan kefahaman dan penghayatan integriti dalam kalangan penjawat awam Sabah.

“Ia bertujuan bagi memupuk kesedaran kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dan integriti secara berterusan, menggalak pematuhan undang-undang, memupuk nilai sifar toleransi terhadap penipuan, kegiatan rasuah dan salah guna kuasa,” kata beliau.

Program yang akan disambut pada bulan Julai setiap tahun juga merupakan salah satu Inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya selaras dengan inisiatif digitalisasi ke era Kerajaan Digital (Smart Digital Government).

Inisiatif ‘Penarafan Bintang Integriti Kementerian’ juga diperkenalkan untuk memberi pengiktirafan kepada Kementerian yang cemerlang dari segi pelaksanaan dan pematuhan budaya integriti.

Sebelas (11) Penjawat Awam Sabah hari ini (8 Julai 2021) dilantik sebagai Pegawai Integriti dalam Kementerian masing-masing melalui Program Hari Integriti Negeri Sabah…

“Integriti dan akauntabiliti yang tinggi dalam jatidiri seseorang penjawat awam sangat penting dalam usaha memastikan halatuju, visi dan misi kerajaan dapat dicapai dan dilaksanakan dengan jayanya…

”Oleh itu, saya menyeru kepada semua penjawat awam supaya menjalankan tugas dengan penuh integriti dan ikhlas.

“Pembudayaan amalan integriti ini diharap dapat melahirkan warga kerja yang lebih efisien, produktif dan beretika serta mampu untuk mewujudkan mekanisme kawalan bagi memastikan peraturan dan dasar yang telah ditetapkan dipatuhi.

“Kita semua perlu berani berubah, ke arah yang lebih baik dan meletakkan integriti sebagai tonggak utama dalam perubahan yang kita ingin capai,” kata Safar.

Beliau mengingatkan bahawa nilai integriti tidak terhad kepada satu perkara sahaja tapi perlu sentiasa dicerminkan dalam semua tindakan sama ada melalui penampilan, sikap dan sebarang keputusan yang diambil.

Tema Hari Integriti Negeri Sabah pada tahun ini yang diadakan secara maya kerana kekangan pandemik adalah ‘Integriti Teras Kecemerlangan Perkhidmatan Awam’.