CHENGDU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mewakili Malaysia dalam program Tianfu Sci-Tech Innovation & Silk Road Science Popularization International Science Popularization Exchange Event yang menghimpunkan pakar komunikasi sains dan institusi dari beberapa negara bagi berkongsi idea serta pengalaman dalam program jangkauan STEM dan pemasyarakatan sains.
Program berkenaan menghimpunkan peserta dari China, Singapore, Thailand, Russia dan Malaysia sebagai platform untuk mengukuhkan kerjasama antarabangsa serta mempromosikan kolaborasi global dalam komunikasi sains dan pendidikan STEM.
Penyertaan Malaysia diwakili menerusi pembentangan oleh Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin bertajuk Professor@School Universiti Malaysia Sabah (UMS): Bringing STEM Closer to Communities in Sabah.
Menurut Zawawi, pembentangan itu mengetengahkan peranan universiti dalam memperluaskan akses masyarakat terhadap pendidikan sains selain meningkatkan kesedaran berkaitan STEM dalam kalangan komuniti setempat.
“Program ini merupakan inisiatif UMS dalam melaksanakan program jangkauan STEM, aktiviti libat urus komuniti dan memperkukuh usaha komunikasi sains di seluruh Sabah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Ia menampilkan sesi perbincangan dan perkongsian ilmu yang memberi tumpuan kepada pendekatan inovatif dalam pemasyarakatan sains serta penglibatan awam dalam bidang berkaitan STEM,” katanya.
Tambah beliau, program itu turut membuka peluang kepada institusi yang terlibat untuk bertukar amalan terbaik dan meneroka potensi kerjasama dalam inisiatif komunikasi sains pada masa hadapan.
Sementara itu, persembahan Malaysia bertajuk Science is Awesome! yang disampaikan oleh Malcolm Jilimin dan Fatin Khatreena Michael menampilkan demonstrasi sains yang interaktif dan menyeronokkan bagi menjadikan pembelajaran STEM lebih mudah diakses serta menarik kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Program tersebut turut menyaksikan negara-negara peserta mempersembahkan siri pertunjukan sains interaktif bagi memupuk minat masyarakat terhadap bidang sains menerusi demonstrasi yang kreatif dan menarik.
“Penyertaan UMS mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperluaskan kesedaran STEM dan memperkukuh penglibatan komuniti menerusi inisiatif pendidikan sains di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujar beliau.






