TUARAN: Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bagi jajaran Serusup-Pinturu (WP09) sepanjang 20.8 kilometer berjalan lancar, dengan keseluruhan projek bernilai RM465 juta itu dijangka siap pada Julai 2028.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor meninjau perkembangan projek berkenaan dalam lawatan ke tapak pembinaan, Ahad.
Dalam lawatan itu, Hajiji turut diberi taklimat mengenai status terkini pelaksanaan projek oleh Wakil Pegawai Penguasa, Theodora Thomas George.
Antara komponen utama jajaran berkenaan ialah pembinaan jambatan sepanjang 682 meter yang merentasi Sungai Sulaman.
Berdasarkan perkembangan semasa, pembinaan jambatan berkenaan dijangka siap pada Disember 2027.
Jajaran Serusup-Pinturu (WP09) sepanjang 20.8 kilometer merupakan sebahagian daripada pembangunan Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kesalinghubungan dan sistem rangkaian jalan raya di negeri ini.
Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik, Datuk Kassim Razali; Pegawai Daerah Tuaran, Ibrahim Terki; dan Kontraktor Projek, Joseph Yu Sin Kong.






