Selepas Api Padam, Nasib Ratusan Mangsa Kebakaran di Numbak Jadi Keutamaan –...

Selepas Api Padam, Nasib Ratusan Mangsa Kebakaran di Numbak Jadi Keutamaan – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Selepas api memusnahkan 202 rumah dalam kebakaran di Numbak pada awal pagi Ahad, tumpuan kini beralih kepada nasib ratusan mangsa yang kehilangan tempat tinggal, termasuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan segera serta menentukan tindakan susulan terhadap kawasan terbabit.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berkata, semua mangsa diminta mendaftarkan diri di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka bagi membolehkan proses pengesahan dilakukan dan bantuan kerajaan disalurkan dengan lebih teratur.

“Pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengisytiharkan kawasan ini sebagai kawasan bencana dan dua Pusat Pemindahan Sementara telah dibuka iaitu di Dewan Kampung Likas dan Dewan Damai.

Kita harap semua yang terlibat dapat mendaftarkan diri di PPS untuk memudahkan kita membuat pengesahan dan verifikasi, seterusnya menyampaikan sumbangan daripada pihak kerajaan,” katanya ketika melawat lokasi kebakaran, hari ini.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 1.40 pagi itu melibatkan 202 rumah, manakala jumlah keseluruhan keluarga yang terjejas masih dalam proses dikenal pasti.

Tragedi itu turut meragut tiga nyawa membabitkan kanak-kanak berusia bawah 10 tahun.

Mustapha berkata, bantuan awal daripada pihak Parlimen Sepanggar telah disalurkan kepada keluarga mangsa yang terkorban bagi membantu mempercepat dan memudahkan urusan pengurusan jenazah.

“Setakat ini kita masih mengenal pasti jumlah keluarga yang terlibat. Maklumat terkini ada tiga mangsa kebakaran yang terkorban, yang rentung, berumur kurang daripada 10 tahun.

“Bagi keluarga ini, kita beri bantuan awal daripada pihak Parlimen supaya pengurusan jenazah dapat dipercepatkan dan dipermudahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapha menegaskan bantuan kemanusiaan akan dipastikan sampai kepada semua mangsa yang terjejas, meskipun status penduduk di kawasan berkenaan masih dalam proses diperincikan.

Beliau turut meminta pihak DBKK mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan bagi merangka cadangan mengenai tindakan seterusnya terhadap kawasan yang musnah dalam kebakaran itu.

Menurutnya, perkara berkenaan berkemungkinan dibawa untuk perhatian kepimpinan tertinggi kerajaan ketika Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya minta pihak DBKK bermesyuarat dengan agensi-agensi yang terlibat dan memberikan cadangan-cadangan yang diperlukan.

“Kita akan ada Mesyuarat Jawatankuasa Induk MA63 dan Perdana Menteri akan hadir, begitu juga Ketua Menteri. Mungkin semasa itu Datuk Mayor boleh memberikan taklimat kepada kedua-dua pemimpin utama ini untuk kita menimbang apa yang perlu dibuat terhadap kawasan yang terbakar ini,” katanya.

Pada masa sama, Mustapha turut meminta pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang terjejas dikenal pasti supaya urusan pembelajaran serta pendaftaran mereka tidak terganggu akibat musibah berkenaan.

Beliau berkata perkara itu akan dibawa kepada Menteri Pendidikan, selain mendapatkan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan bantuan sewajarnya diberikan kepada pelajar terlibat.

Sementara itu, Mayor DBKK, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, berdasarkan prosedur operasi standard, mangsa kebakaran ditempatkan di PPS selama tiga hari bagi memberi ruang kepada proses penyaluran bantuan.

“Untuk standard operasi biasa hanya tiga hari. Ini memberi masa kepada kita untuk menyalurkan sumbangan-sumbangan yang diperlukan,” katanya.

Mustapha berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan keperluan kemanusiaan semua mangsa dapat ditangani sementara DBKK dan agensi berkaitan meneliti langkah seterusnya bagi kawasan yang terjejas.