KIMANIS: Tujuh individu termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Jalan Malawaring sebelum simpang Kampung Nyaris-Nyaris, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, PKPgB Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.32 petang sebelum enam anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Toyota Innova, Perodua Myvi dan Perodua Kancil dengan keseluruhan tujuh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, lima mangsa yang menaiki Toyota Innova terdiri daripada dua dewasa, masing-masing lelaki berusia 49 tahun dan wanita berusia 35 tahun, serta tiga kanak-kanak berusia sembilan, lapan dan tiga tahun.
Katanya, kesemua mereka mengalami kecederaan ringan, termasuk wanita berusia 35 tahun yang terseliuh tangan kiri, sebelum dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut.
“Seorang lelaki berusia 50 tahun yang menaiki Perodua Kancil mengalami kecederaan di bahagian dada dan turut dihantar ke Hospital Papar.
“Seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 61 tahun yang menaiki Perodua Myvi mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Nelson berkata, pasukan bomba seterusnya menjalankan kerja-kerja keselamatan dengan membuka terminal bateri ketiga-tiga kenderaan bagi mengelakkan risiko kebakaran serta melakukan pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain.
Operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya dikawal pada jam 4.10 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.14 petang.






