KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di hadapan Puri Warisan Inanam, Jalan Tuaran Bypass, petang kelmarin.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 5.30 petang.
Susulan itu sepasukan 9 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 3 kilometer, dan tiba pada jam 5.39 petang.
Menurut Komander Operasi, Lawrence Matusin, kemalangan membabitkan sebuah lori 8 tan dan sebuah motosikal, di mana penunggang motosikal lelaki berusia lingkungan 40 tahun didapati tersepit di bawah lori.
“Bagaimanapun, mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi. Pasukan kami kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada risiko bahaya lain,” katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 malam.
Tiada penglibatan agensi lain dilaporkan dalam insiden ini.






