KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, mengkritik penganjuran Songkran Sunset Splash Run 2026 yang disifatkannya sebagai tidak sensitif terhadap situasi kekurangan air di beberapa kawasan.
Beliau berkata pesta berunsur percikan air itu dilihat seolah-olah berlaku pembaziran, apatah lagi apabila difahamkan air dibekalkan menggunakan lori tangki ketika ada komuniti yang sedang berdepan gangguan bekalan.
“Dalam keadaan cuaca panas dan kering ketika ini, kita menjangkakan masalah air akan berlanjutan.
“Jadi program seperti ini sepatutnya tidak berlaku kerana memberi gambaran pembaziran ketika sebahagian rakyat sedang berdepan kesusahan,” katanya menerusi Facebook.
Aliakbar turut menggesa pihak penganjur dan pihak berkuasa tempatan supaya lebih peka serta memantau penganjuran acara seumpama itu agar tidak menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dalam kenyataan berasingan cuba menjauhkan diri dengan menegaskan pihaknya tidak terlibat secara langsung dalam penganjuran program tersebut, walaupun mengakui telah memberi kelulusan kepada acara berkenaan.
DBKK pada masa sama mengakui terdapat pelanggaran syarat, khususnya berkaitan penggunaan air serta aspek kebersihan dan keselamatan.
DBKK bagaimanapun berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan tindakan akan diambil terhadap penganjur, selain mengarahkan kerja pembersihan dilakukan serta-merta.
Dalam masa sama, DBKK tetap mempertahankan penganjuran acara larian sebagai memberi nilai tambah kepada pelancongan dan ekonomi tempatan, walaupun isu asas seperti penggunaan sumber air dilihat terlepas pandang.






