KOTA MARUDU: Seorang Pegawai Bomba Bantuan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud meninggal dunia pada Isnin selepas 35 jam bertarung nyawa di hospital akibat kemalangan jalan raya di Kampung Hitob sini pada Ahad.
Masreh Masah, 50, merempuh kereta Proton Iswara Aeroback di lorong bertentangan ketika menunggang motosikal jenis Yamaha R15 dalam insiden 10.30 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada pukul 9.30 malam Isnin.
“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dalam perjalanan dari arah Marak Parak menghala ke Pekan Kota Marudu.
“Ketika melalui selekoh dan menuruni bukit, motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan disyaki hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan dan bertembung dengan kereta berkenaan.
“Akibat kemalangan, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan menerima rawatan awal di Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu sebelum dihantar ke QEH untuk rawatan lanjut,” katanya.
Simiun berkata, pemandu kereta itu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan dirawat sebagai pesakit luar di Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu.
“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya sambil meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan.






