KOTA KINABALU: Kualiti udara di Sabah mula terjejas akibat jerebu rentas sempadan susulan kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan, dengan satu stesen merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, petang ini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata, setakat jam 5 petang, stesen berkenaan mencatatkan IPU 142, selepas bacaannya mula melebihi paras 100 sejak jam 12 tengah hari.
“Lima kawasan lain masih mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana iaitu Kota Kinabalu dengan IPU 97, Kimanis 95, Keningau 93, Sandakan 78 dan Tawau 79,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, asap tebal daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan dibawa tiupan angin ke wilayah Borneo termasuk Sabah.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), sebanyak 1,107 titik panas dikesan di Kalimantan menerusi cerapan pada 29 Ogos.
Nor Rashidah berkata, kebakaran membabitkan 202 rumah setinggan atas air di Kampung Numbak, awal pagi tadi turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara setempat, namun tiada kebakaran besar lain dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu.
Katanya, dua titik panas yang dikesan sebelum ini di Tuaran dan Kota Belud membabitkan kawasan belukar sudah padam sepenuhnya, manakala dua titik panas yang dikesan hari ini di Kampung Numbak berkaitan kebakaran berkenaan.
Beliau berkata, JAS kini bersiap siaga meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan di kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering, dengan 474 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) dilaksanakan setakat ini.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan diminta segera melaporkan sebarang kejadian pembakaran atau kebakaran kepada pihak berkuasa,” katanya.
Mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan tidak sihat, 201 hingga 400 sangat tidak sihat, manakala sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta sekiranya IPU mencecah 200.






