WUHAN, CHINA – Kegembiraan Wuhan selepas bebas daripada penularan wabak COVID-19 selepas 76 hari menjalani perintah berkurung jelas terlihat apabila para pengunjung kini mula berhibur di festival tarian elektronik, penduduk berbaris panjang di gerai menjual sarapan dan kesesakan lalu lintas di bandar tersebut.
Sut hazmat dan cermin mata keselamatan yang dahulunya adalah kebiasaan kini digantikan dengan payung dan topi bagi melindungi diri daripada terik matahari musim panas, serta pemakaian pelitup muka (facemask) ketika pelancong bergambar di hadapan Menara Kuning, mercu tanda bersejarah bandar terbabit dan berkunjung ke pasar malam di Wuhan
Namun bukan semua perkara kembali normal.
Sektor perniagaan masih bergerak perlahan di Wuhan, bandar dihuni 11 juta penduduk, iaitu lokasi pertama virus COVID-19 dikesan, sebelum menular ke seluruh dunia dan bertukar menjadi pandemik global.
“Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, kami hanya membuka beberapa projek yang sudah diputuskan sebelum pandemik bermula.
“Sektor perniagaan berkurangan pada skala yang begitu besar,” kata Hu Zeyu, seorang petugas firma hartanah tempatan.
Sementara itu, pengusaha gerai makanan, Yang Liankang berkata, keadaan beransur pulih dan pendapatan turut meningkat daripada 300 yuan (RM120) sehari sebulan lalu, kepada lebih 1,000 yuan sehari (RM604) ketika ini.
“Ia bukan selaris seperti sebelum COVID-19 tetapi ianya mula mendapat sambutan semula,” katanya.
Di beberapa kawasan kejiranan di Wuhan, penghadang plastik yang digunakan ketika perintah berkurung masih berfungsi bagi mengawal lalu lintas.