Mayat wanita yang belum dapat dikenal pasti identitinya itu dipercayai mangsa bunuh ditemui di tepi jalan pada jam lebih kurang 9.30 pagi kelmarin dengan beberapa kesan luka di badannya.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew AK Umpit berkata, mangsa ditemui seorang pemandu lori yang melalui jalan berkenaan.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring oleh seorang pemandu lori yang kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis…
“Hasil pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati hidungnya berdarah serta terdapat beberapa kesan luka pada tubuhnya,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Batholomew turut berkata bahawa berdasarkan siasatan polis, terdapat kesan tikaman pada bahagian rusuk belakang sebelah kiri mangsa.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mempunyai pertalian dengan mangsa diminta tampil membantu siasatan polis.
Batholomew memohon kepada orang awam yang mempunyai sebarang maklumat serta mempunyai pertalian dengan mangsa atau ahli keluarga yang hilang agar tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Papar dan berjumpa dengan Pegawai Penyiasat ASP Rosli bin Rasi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.