Kes Bunuh Wanita Dikerat Tujuh: Suspek Berusia 70-an Ditahan Polis

Kes Bunuh Wanita Dikerat Tujuh: Suspek Berusia 70-an Ditahan Polis

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Taman Indah Permai, di sini, kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan.

Menurut laporan Harian Metro, suspek ditahan kira-kira jam 5 petang di sekitar daerah ini dalam satu operasi membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK serta Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Luyang.

Difahamkan, suspek berjaya dikenal pasti hasil petunjuk daripada penemuan mayat mangsa, termasuk kepala dan badan, susulan penemuan awal tangan serta kaki di dalam tong sampah.

Suspek lelaki tempatan berusia 70-an berjaya dikesan dan ditahan. Setakat ini motif kejadian dipercayai cemburu. Dengan tertangkapnya suspek utama ini, kes dianggap berjaya diselesaikan.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” menurut laporan berkenaan.

Suspek kini ditempatkan di hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut sebelum proses permohonan reman dijalankan.

Terdahulu, mayat wanita berusia lingkungan 40-an ditemui dalam keadaan anggota badannya dikerat dan dibuang secara berasingan di kawasan pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai.

Penemuan awal membabitkan kaki dan tangan berhampiran tempat letak kereta bersebelahan sebuah pasar raya pada jam 6.30 pagi oleh pekerja lori sampah yang kemudian memaklumkan kepada polis.

Pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada jam 11.40 pagi di satu lagi lokasi pembuangan sampah berhampiran kawasan sama.