KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang sejak petang 17 November 2025 di Skim Penempatan Telipok, Menggatal.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasi Muda memaklumkan bahawa mangsa, Mohammad Firdaus Dally Abdullah, dilaporkan bermain di luar rumah bersama adiknya sekitar jam 6.00 petang sebelum dikesan tidak pulang kira-kira jam 7.00 malam.
“Keluarganya bersama penduduk kampung telah melakukan pencarian di kawasan sekitar, termasuk rumah rakan-rakan dan lokasi permainan biasa, namun gagal menemui mangsa sehingga kini.
“Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Firdaus untuk menghubungi Insp Luzee Irine Stephen di talian 014-786 9365, IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222, atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pihak polis turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan masyarakat dan menegaskan bahawa sebarang maklumat, walaupun kecil, dapat membantu mempercepatkan usaha pencarian kanak-kanak berkenaan.






