DHAKA: Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dijatuhi hukuman mati oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan tindakan keras terhadap protes pelajar yang meragut kira-kira 1,400 nyawa tahun lalu.
Mengikut laporan BBC, Hasina, 78, dibicarakan tanpa hadir kerana berada dalam buangan di India sejak digulingkan pada Julai 2024.
Pendakwa menuduh beliau mengarahkan pembunuhan dan gagal menghentikan kekejaman, namun Hasina menafikan tuduhan dan menyifatkan perbicaraan berat sebelah.
Walaupun hukuman mati dijatuhkan, India dijangka tidak akan mengekstradisinya.
Sejak kejatuhannya, kerajaan sementara Bangladesh dipimpin pemenang Nobel, Muhammad Yunus, sementara pilihan raya dijadualkan pada Februari 2026.
PBB menganggap keputusan itu penting untuk mangsa tetapi menentang hukuman mati. Bukti audio yang dibocorkan turut menunjukkan Hasina pernah mengarahkan penggunaan senjata maut.
Keputusan itu mencetuskan kawalan keselamatan ketat di Dhaka dengan letupan bom dan rusuhan kecil menjelang pengumuman.
Keluarga mangsa pula mahu hukuman paling berat dikenakan. Parti Hasina, Awami League, kini diharamkan kerajaan sementara.






