TAWAU: Kerajaan GRS kehilangan dua tahun pertama pentadbiran kerana terpaksa menerima Datuk Seri Bung Moktar sebagai Menteri Kerja Raya yang dianggap gagal, kata Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali.
“Bung Moktar sering menuduh Kerajaan GRS sebagai kerajaan paling gagal di dunia, tetapi kenyataannya beliau sendiri adalah punca kelewatan banyak projek penting di Sabah.
“Dua tahun pertama pentadbiran GRS (2021-2022) terjejas kerana beliau memegang portfolio KKR,” kata Armizan melalui kenyataan.
Beliau menjelaskan bahawa sepanjang Bung menjadi Menteri KKR, tiada projek utama penstabilan bekalan air dilaksanakan.
Jelasnya, Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2 di Tawau hanya dimulakan pada 22 Julai 2025, selepas beliau tidak lagi memegang jawatan, dan dijangka siap pada 22 Julai 2028.
Di Papar pula, Projek Naik Taraf LRA Kogopon, yang telah dirancang lebih awal, hanya dapat dimulakan pada Ogos 2023 setelah Datuk Shahelmy mengambil alih kementerian. Projek baharu lain, LRA Balung II, dijadual bermula pada 2026.
Armizan turut menegaskan isu bekalan elektrik tidak boleh disalahkan sepenuhnya kepada GRS kerana kuasa kawal selia elektrik hanya dipindahkan kepada Kerajaan Sabah pada 3 Januari 2024, selepas 41 tahun di bawah Kerajaan Persekutuan. Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) masih majoritinya dimiliki TNB.
“Sepanjang Bung menjadi Menteri KKR, beliau cuba menunjukkan kuasa melalui pelantikan wakil UMNO dalam SESB, tetapi isu bekalan elektrik tetap tidak diselesaikan.
“Setelah beliau tiada, banyak projek penstabilan bekalan elektrik mula dilaksanakan, termasuk Projek Rangkaian Grid ke Pantai Timur Southern Link Fasa I bermula 2024,” katanya.
“Takdir menentukan Bung sebagai ‘Menteri Gagal’ keluar dari kerajaan negeri telah membuka laluan kepada pelaksanaan projek penstabilan air dan elektrik di Sabah,” tambah Armizan.






