Lebih 4,000 Belia Sabah Terlibat Sebagai Usahawan IKS

Lebih 4,000 Belia Sabah Terlibat Sebagai Usahawan IKS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 4,425 orang belia di Sabah yang terlibat sebagai usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata, daripada keseluruhan jumlah tersebut, seramai 4,101 belia IKS daripada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).

“4,101 daripada DIDR dan 324 orang lagi di bawah program agensi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.

“Walau bagaimanapun kementerian ini akan terus mendapatkan data daripada usahawan-usahawan belia yang tidak berdaftar dan agensi-agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan industri dan keusahawanan,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak yang bertanya mengenai jumlah belia yang terlibat sebagai usahawan IKS dan apakah rancangan kerajaan untuk membantu para belia Sabah.

Fairuz yang juga ADUN Pintasan berkata, walaupun kementeriannya tidak mempunyai peranan secara langsung terhadap IKS, tetapi pihaknya sentiasa terlibat membantu belia memulakan dan mengembangkan perniagaan melalui program Skim Jaya Usahawan Belia (SYABAS).

“Walau bagaimanapun, kementerian saya terlibat membantu belia untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan melalui program SYABAS.

“Setakat ini, seramai 2,893 orang belia telah mendapat bantuan ini. jenis-jenis perniagaan yang dijalankan adalah seperti pertanian, pelancongan, peruncitan dan sebagainya,” jelasnya.