Wakil Rakyat Pembangkang, Boleh Mohon Peruntukan Secara Terus Dengan KM

Wakil Rakyat Pembangkang, Boleh Mohon Peruntukan Secara Terus Dengan KM

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sentiasa terbuka dan tidak meminggirkan wakil rakyat pembangkang terutama dalam hal pengagihan peruntukan di kawasan yang diwakili mereka.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan tetap memberikan peruntukan di kawasan pembangkang untuk kepentingan rakyat dan peruntukan tersebut akan terus disalurkan kepada pejabat daerah untuk dilaksanakan.

“Walau bagaimanapun jika sekiranya ada keperluan-keperluan yang mungkin wakil-wakil rakyat pembangkang ingin memohon kepada kerajaan kita tiada masalah untuk menerima dan nuga mempertimbangkan.

“Yang penting ianya adalah untuk kepentingan rakyat kita. Jadi saya minta, jika ada keperluan wakil-wakil rakyat pembangkang, boleh memohon secara terus kepada saya,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan ADUN Moyog, Datuk Darell Leiking yang membangkitkan isu peruntukan kepada ADUN di kawasan pembangkang.

Sementara itu, bagi menjawab soalan tambahan ADUN Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai langkah memudahkan penyaluran peruntukan di kawasan pembangkang, Hajiji berkata, beliau akan memperhalusi setiap kelemahan termasuk meminta Setiausaha Kerajaan Negeri (SUN) untuk memaklumkan kepada setiap wakil rakyat mengenai peruntukan yang ada.

“Kita minta SUN untuk memberi maklum kepada semua Pegawai Daerah supaya setiap peruntukan yang disalurkan sama ada oleh kerajaan persekutuan atau pun kerajaan negeri mesti dimaklumkan kepada wakil-wakil rakyat.

“Tidak kira, sama ada pembangkang atau pun kerajaan dan saya harap ini dapat diambil tindakan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Hajiji memaklumkan, kebenaran kepada wakil rakyat pembangkang untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa pembangunan di setiap daerah akan diperhalusi sama ada wujud keperluan untuk melaksanakannya.