KOTA KINABALU: Satu jawatankuasa perlu ditubuhkan bagi membantu memantau sekali gus merancang dan mengurangkan risiko kawasan-kawasan sekolah yang kerap alami bencana banjir.
Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi negeri Sabah, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut juga mungkin perlu melibatkan pemimpin-pemimpin setempat dan pejabat daerah di kawasan masing-masing.
“Perlunya ada satu jawatankuasa Kalau kita lihat dari segi mungkin pemantauan, pihak sekolah perlu memaklumkan kepada jawatankuasa tersebut terutamanya mungkin melibatkan daerah-daerah.
“Ini juga perlu melibatkan pemimpin setempat di daerah untuk membuat pemantauan semua ni supaya dapat dibincangkan dan dapat dirancangkan bagaimana untuk di kawasan-kawasan yang sering terjejas ini kita kena cari jalan.
“Kerana kawasan-kawasan sekolah ini sangat diperlukan untuk pembaikan dengan segera dan dirancang dengan baik supaya tidak berlaku lagi lagi banjir di tempat-tempat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pembelian Baju Raya Pelajar Asnaf di sini pada Khamis.
Dalam pada itu beliau berkata, tidak dinafikan kerajaan negeri di bawah Sabah Maju Jaya dilihat telah banyak memberikan pelbagai inisiatif bantuan termasuk dalam bidang pendidikan.
“Tidak ketinggalan juga bila mangsa-mangsa terkesan oleh bencana banjir pada baru-baru ini dan saya berharap kerajaan negeri di bawah inisiatif untuk pendidikan supaya dapat disegerakan membantu sekolah-sekolah, pelajar-pelajar yang terjejas banjr yang berlaku baru-baru ini khususnya di daerah Beaufort,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Pendidikan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif memaklumkan bahawa kerajaan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) akan menyalurkan bantuan kepada semua sekolah terjejas banjir baru-baru ini.
“Kerajaan Negeri melalui TPNS akan menyalurkan bantuan kepada semua sekolah yang terjejas akibat banjir ketika ini sama ada di Membakut, Beaufort, Tenom, Keningau dan di mana-mana daerah terlibat.
“Bantuan diberikan untuk keperluan seperti pembersihan, penggantian kerosakan dan sebagainya berjumlah RM5,000 hingga RM10,000 bergantung kepada tahap kemusnahan,” katanya.