Rundingan Mekanisme Bayaran 40 Peratus Sedang Berjalan, Dijangka Selesai Dalam Tiga Bulan...

Rundingan Mekanisme Bayaran 40 Peratus Sedang Berjalan, Dijangka Selesai Dalam Tiga Bulan – Hajiji 

0
SHARE

KOTA BELUD: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin rundingan bagi menentukan mekanisme pengembalian 40 peratus hasil bersih Sabah akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan, selaras keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober lalu.

Beliau berkata, proses rundingan itu telah pun bermula semalam melalui mesyuarat peringkat pegawai di Menara Kinabalu, yang melibatkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) mewakili Sabah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan mewakili Kerajaan Persekutuan.

Menurut Hajiji, perbincangan awal tertumpu kepada kaedah pelaksanaan pembayaran 40 peratus tersebut, termasuk tatacara, mekanisme dan penetapan proses teknikal antara kedua-dua pihak.

“Mereka sudah bincang… SKN sudah beritahu saya bahawa mereka telah bermesyuarat dengan Persekutuan tentang mekanisme atau cara menyelesaikan 40 peratus itu. Kita ada 90 hari, jadi kita tunggu hasil perbincangan ini,” katanya selepas Program Jelajah Rumah Kita, Kita Jaga di Tempasuk dan Usukan, hari ini.

Hajiji menjelaskan, perkara itu bersifat teknikal dan memerlukan beberapa siri perbincangan sebelum Sabah dan Persekutuan mencapai persetujuan muktamad.

“Sebenarnya ini agak teknikal sedikit, jadi perinciannya tidak dapat dijelaskan sekarang. Mereka mungkin perlu berbincang beberapa kali,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa setakat ini belum ada jumlah tuntutan hasil yang dimuktamadkan kerana kerajaan negeri masih menunggu angka sebenar kutipan hasil Sabah daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita pun tidak tahu berapa hasil dikutip dari Sabah secara jelas. Kita minta biar Kerajaan Persekutuan memaklumkan agihan 40 peratus itu nanti,” tambahnya.

Dalam pada itu, Hajiji turut mendedahkan bahawa beliau sendiri telah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kelayakan 40 peratus hasil bersih yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri telefon saya dan berkata, ‘InsyaAllah kita tidak buat rayuan 40 peratus’. Apa yang dirayu itu hanya berkaitan ayat yang dirasakan tidak adil dibuat kerajaan dulu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Sabah bersikap tegas dalam rundingan MA63 dan tidak gentar menyuarakan tuntutan negeri.

“Saya tidak takut berunding dengan kerajaan Persekutuan… dalam Mesyuarat MA63, saya yang paling banyak bercakap. Tapi saya tidak heboh-heboh — itu cara saya mentadbir,” katanya.