Lebih 10 Juta Carian Berkaitan Sabah di REDNote, Petanda Minat Tinggi Pelancong...

Lebih 10 Juta Carian Berkaitan Sabah di REDNote, Petanda Minat Tinggi Pelancong China

0
SHARE

SHANGHAI: Lebih 10 juta carian berkaitan Sabah direkodkan di REDnote (Xiaohongshu), menunjukkan destinasi itu mendapat perhatian tinggi dalam kalangan pengguna platform gaya hidup dan pencarian destinasi pelancongan terkemuka di China.

Data itu dikongsikan semasa lawatan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, ke REDnote di Shanghai pada Rabu.

Antara tarikan Sabah yang paling popular di platform itu ialah pemandangan matahari terbenam, gunung, laut yang indah dan makanan laut segar.

Jafry berkata angka berkenaan menunjukkan daya tarikan Sabah yang semakin meningkat dalam pasaran China, sekali gus membuka peluang untuk menukar minat dalam talian kepada ketibaan pelancong menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

“Ini petunjuk yang amat menggalakkan bagi Sabah. Minat itu sudah ada dan tumpuan kita sekarang adalah untuk menjadikannya lawatan sebenar.

“Kita mahu lebih ramai pelancong China merasai sendiri pengalaman di Sabah, daripada pemandangan matahari terbenam dan Gunung Kinabalu yang menakjubkan hinggalah pulau-pulau, makanan laut segar, hidupan liar serta kepelbagaian budaya kita,” katanya.

Beliau berkata platform digital seperti REDnote semakin penting dalam mempengaruhi keputusan perjalanan, khususnya dalam kalangan pelancong yang merancang perjalanan sendiri dan golongan muda.

Katanya, Sabah akan meneroka peluang kerjasama strategik dengan REDnote bagi memperkukuh promosi destinasi dan menjangkau lebih ramai bakal pelancong di seluruh China.

“China kekal sebagai pasaran pelancongan penting bagi Sabah. Ketika kita memperkukuh hubungan penerbangan, pemasaran destinasi kita juga mesti sampai kepada pelancong melalui platform yang mereka gunakan untuk mencari destinasi dan merancang percutian,” katanya.

Lawatan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Sabah di China untuk memperkukuh promosi pelancongan, kerjasama industri dan akses pasaran menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.