Pameran Kereta CULT Tarik Penyertaan Antarabangsa, Lonjak Pelancongan Bandar di Sabah

Pameran Kereta CULT Tarik Penyertaan Antarabangsa, Lonjak Pelancongan Bandar di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pameran tahunan Cars and Urban Lifestyle Trend (CULT) Car Show yang diasaskan di Sabah semakin mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan dari Brunei Darussalam, Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Kejayaan acara itu membuktikan kepentingan pelancongan bandar dalam membentuk landskap pelancongan dinamik Sabah, kata Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata, acara pelancongan bandar seperti CULT memberi dimensi baharu kepada tarikan Sabah dengan memperkenalkan pengalaman kreatif dan berorientasikan gaya hidup yang melengkapi keindahan alam semula jadinya.

“Acara seperti CULT memperlihatkan sisi berbeza Sabah yang meraikan inovasi, reka bentuk dan komuniti melalui platform kontemporari dan berpengalaman.

“Ia memberi kesan limpahan positif kepada perniagaan tempatan, hotel, bengkel, serta premis makanan, di samping menggalakkan penyertaan golongan belia dan usahawan dalam rantaian nilai pelancongan,” katanya ketika merasmikan CULT 2025 di Merdeka Grand Mall di sini pada Ahad.

Joniston berkata, penyertaan lebih 400 kenderaan dan pengunjung dari Brunei menunjukkan potensi acara berasaskan gaya hidup untuk menarik segmen pasaran baharu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi yang progresif.

Acara itu turut menyerlahkan kerjasama erat antara pemain industri, rakan kreatif dan penaja seperti YONO eWallet, sekali gus membuktikan peranan inovasi tempatan dalam menyokong pertumbuhan pelancongan.

Joniston berharap kejayaan penganjuran CULT yang diasaskan anak tempatan ini akan terus mendapat perhatian lebih meluas dan menarik lebih banyak penyertaan antarabangsa pada masa akan datang.

Turut hadir, Pengarah Acara CULT Azlin Awang Chee dan Pengarah Promosi CULT John Kong.