Hanya Yang Berani Sertai Gelombang ‘Black Wave’ – Verdon Bahanda

Hanya Yang Berani Sertai Gelombang ‘Black Wave’ – Verdon Bahanda

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda, berkata hanya calon yang benar-benar berani dan ikhlas mahu membawa perubahan layak menyertai gerakan bebas yang diasaskannya, Black Wave.

Menurutnya, gerakan itu ditubuhkan untuk mencabar dominasi parti-parti besar di Sabah dan membuktikan bahawa calon bebas juga mampu memegang kuasa serta membela rakyat.

“Hanya yang berani akan sertai gelombang ini. Ini untuk mereka yang mahu ubah sistem lama kepada sistem baharu yang lebih bersih, telus dan berfokus kepada rakyat,” katanya Kepada Malay Mail baru-baru ini.

Verdon berkata Black Wave kini terdiri daripada ahli perniagaan dan golongan profesional, dan merancang untuk bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Antara kawasan yang dikenal pasti termasuk Banggi, Bengkoka, Inanam, Kepayan, Moyog, Tanjung Aru, Membakut, Kemabong, Limbahau, Melalap, Kukusan, Gum Gum, Pintasan dan Sugut.

“Kami akan bertanding secara bersih dan bebas, tanpa bergantung kepada penderma besar atau parti politik. Kalau benar mahu berkhidmat, sepuluh ribu ringgit pun cukup,” katanya.

Beliau menjelaskan, gerakan itu bersikap neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana parti.

“Black Wave tiada kawan, tiada musuh. Kami hanya mahu berjuang untuk rakyat,” tegasnya.

Verdon berkata, jika berjaya menang beberapa kerusi, pihaknya akan menilai tawaran daripada mana-mana gabungan politik sebelum membuat keputusan untuk bekerjasama.

“Kalau satu pihak tawarkan portfolio kebajikan dan satu lagi kewangan, sudah tentu kami pilih yang paling baik untuk rakyat,” katanya.

Menurutnya, tujuan utama gerakan itu ialah untuk membina politik yang lebih bebas dan berani bersuara tanpa dikawal mana-mana parti.

“Bila ikut parti, kita kena ikut arahan presiden, bukan suara hati. Sebagai calon bebas, saya boleh cakap terus terang tentang hak Sabah dan MA63,” katanya.

Verdon yang sebelum ini ahli Umno dan Upko berkata beliau menubuhkan Black Wave selepas melihat rakyat mahu perubahan sebenar.

“Kami bukan mahu pecah undi, tapi mahu bina semangat baharu. Ini bukan sekadar parti politik, tapi satu persaudaraan untuk perjuangan yang lebih bersih,” katanya.

Beliau berkata Black Wave belum menjadi parti rasmi, namun tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkannya jika gerakan itu mendapat sokongan rakyat.

“Kalau rakyat percaya dan gelombang ini kuat, mungkin nanti kami jadikan ia parti rasmi. Buat masa ini, kami cuma mahu buktikan calon bebas juga mampu buat perubahan,” katanya.