Tanggungjawab Anak Muda 18 Tahun Keluar Mengundi Satu Kewajipan Fardu Ain –...

Tanggungjawab Anak Muda 18 Tahun Keluar Mengundi Satu Kewajipan Fardu Ain – Hadi Awang

0
SHARE
Tan Sri Abdul Hadi Awang...

PADANG RENGAS, PERAK – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan tanggungjawab untuk berjihad mempertahankan Islam ketika agama berada dalam situasi bahaya, menjadi satu kewajipan dalam kategori ‘fardu ain’.

Kenyataan berkenaan dinyatakan oleh beliau sebagai mengulas soal kewajipan untuk anak muda untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Memetik laporan BH, ahli Parlimen Marang itu berkata bahawa kebanyakan orang muda menganggap tanggungjawab keluar mengundi bagi memilih pemimpin dalam pilihan raya sebagai tidak penting.

“Kebanyakan anak muda menganggap mengundi tak penting, tak perlu keluar mengundi dan tak perlu ambil tahu mengenai politik…

“(Bagi mereka) siapa memerintah sama sahaja, padahal kuasa politik ini menentukan kedaulatan dan kuasa Islam,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen PAS Pilihanku 4.0 Peringkat Negeri Perak di Dewan Millennium Lubuk Merbau di Padang Rengas di sini malam ini.

Abdul Hadi menegaskan, menjadi tanggungjawab semua untuk menyampaikan kepada anak muda yang berusia 18 tahun iaitu pengundi baharu bahawa mereka perlu menunaikan kewajipan sebagai mengundi.

“Letakkan ia (mengundi) sebagai satu ‘priority’ (keutamaan)…ini kewajipan fardu ain,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, dalam suasana orang Islam berada dalam bahaya, jihadnya adalah fardu ain dan bukan lagi fardu kifayah.

Fardu ain merujuk perkara yang wajib dilakukan semua dan berdosa jika tidak ditunaikan. Berbeza fardu kifayah, ia perkara wajib yang dilaksanakan sebahagian masyarakat demi menjaga kepentingan umat Islam.

“Ulama mengatakan apabila Islam sudah berdaulat dan memerintah, jihadnya (berstatus) fardu kifayah, (namun) apabila Islam jatuh dan dalam bahaya jihadnya adalah fardu ain,” katanya.

Mengulas mengenai jihad, katanya dalam bab itu, jihad yang dipilih adalah secara damai iaitu melalui pilihan raya dan bukannya cara keras.

“Kita pilih cara pilihan raya cara damai. Kita tak mahu cara bertembung atau berlawan…

“Sehubungan itu wajar bagi setiap orang Islam memahami tanggungjawab untuk mempertahankan Islam ini,” katanya.