TAWAU: Seorang lelaki warga emas ditahan polis selepas didapati memiliki dadah disyaki syabu dalam satu rondaan cegah jenayah di Jalan Apas, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota Balai Polis Tawau yang mengesan suspek dalam keadaan mencurigakan ketika berlegar-legar di kawasan sebuah stesen minyak.
“Pemeriksaan mendapati lelaki tempatan berusia kira-kira 63 tahun itu memiliki satu paket plastik kecil mengandungi plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.20 gram,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Hasil semakan rekod jenayah lampau turut mendapati suspek mempunyai rekod terdahulu melibatkan pelbagai kes berkaitan dadah dan jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.






