KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah merancang menghantar satu delegasi perniagaan ke Kemboja bagi meneroka peluang kerjasama dan pelaburan dua hala yang berpotensi memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, cadangan itu dikemukakan susulan kunjungan hormat daripada Oriental Bank (Cambodia) yang diketuai pengasas dan pengerusinya, Datuk Phan Ying Tong, ke atas beliau pada Khamis.
Menurut Masidi, delegasi berkenaan dicadangkan untuk diketuai oleh Datuk Dexter Lau, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, bagi memudah cara pemadanan perniagaan antara syarikat-syarikat Sabah dan rakan perniagaan di Kemboja.
Beliau berkata, lawatan itu bertujuan menyediakan platform praktikal untuk pertemuan terus antara pemain industri kedua-dua negara bagi mengenal pasti peluang kerjasama strategik, pelaburan serta akses pasaran yang berdaya maju.
“Penglibatan ini diharapkan bukan sekadar sesi perkenalan, sebaliknya mampu membawa kepada pemadanan perniagaan yang tersusun dan diterjemahkan kepada kerjasama serta pelaburan sebenar,” katanya.
Masidi turut mencadangkan agar jaringan perniagaan itu diperluaskan ke pasaran Indochina lain termasuk Myanmar, Laos, Thailand, Filipina, China, Indonesia dan Vietnam, bergantung kepada kesesuaian dan potensi pasaran.
Terdahulu, pertemuan berkenaan turut disertai ahli lembaga pengarah Oriental Bank (Cambodia), Vanseka Sok dan Jean Loi Jin Choo, serta Datuk Dexter Lau, bagi membincangkan perkembangan ekonomi dan peluang pelaburan di Sabah.
Masidi merakamkan penghargaan atas kunjungan tersebut dan menyatakan harapan agar kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan sektor perbankan antarabangsa dapat terus diperkukuh demi menyokong pembangunan ekonomi Sabah.






