Penyambungan Silang Paip Langkah Segera Atasi Gangguan Air di Mukim Kinarut dan...

Penyambungan Silang Paip Langkah Segera Atasi Gangguan Air di Mukim Kinarut dan Kawang – Armizan

0
SHARE

PAPAR: Kerja-kerja penyambungan silang rangkaian paip antara Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon dan kawasan Mukim Kinarut serta Kawang dilaksanakan sebagai langkah mitigasi segera bagi menangani gangguan serius bekalan air yang berlarutan sejak penghujung Disember lalu.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penyambungan silang paip dari tangki utama P1 LRA Kogopon ke tangki utama P3 di Kawang adalah susulan keputusan Mesyuarat Khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 8 Januari lalu, bagi mencari penyelesaian segera masalah bekalan air di kawasan terbabit.

“Langkah ini diambil sementara menunggu siap sepenuhnya Projek Naik Taraf LRA Kogopon 2 yang bermula Ogos 2023 dan dijadual siap pada suku keempat 2026,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, pada Jumaat.

Menurut beliau, melalui langkah mitigasi itu, kapasiti rawatan air di LRA Kogopon sedia ada akan ditingkatkan secara sementara sebanyak kira-kira 10 peratus atau 3.5 hingga 4 juta liter sehari (JLH), yang akan disalurkan terus ke Mukim Kinarut dan Kawang.

Beliau berkata, penyambungan silang berkenaan juga dapat mengurangkan jarak pembekalan air daripada 33 kilometer kepada hanya 10.3 kilometer, sekali gus membantu menampung keperluan kritikal penduduk setempat.

Antara kerja yang terlibat termasuk penyambungan silang paip di dua lokasi, penggantian injap di bahagian pengambilan air LRA Kogopon serta penggantian pam air di loji sedia ada, dengan kerja-kerja lapangan dijalankan secara berterusan 24 jam sehari, tertakluk kepada keadaan cuaca.

“Keseluruhan kerja disasarkan siap pada 24 Januari ini. Namun, kerja penggantian injap memerlukan penutupan sementara loji selama kira-kira 10 jam bermula lewat malam 20 Januari, tertakluk kepada cuaca,” katanya.

Armizan berkata, penutupan sementara loji itu dijangka memberi kesan kepada beberapa kawasan di daerah Papar dan makluman rasmi akan dikeluarkan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dalam masa terdekat.

“Kita berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan kesusahan penduduk yang terjejas sejak sekian lama, dan berharap langkah segera ini dapat menamatkan isu gangguan serta catuan air sehingga penyelesaian jangka panjang dicapai,” katanya.