Lebih 1,000 Mangsa Banjir DUN Lumadan Terima Bantuan Bakul Makanan

Lebih 1,000 Mangsa Banjir DUN Lumadan Terima Bantuan Bakul Makanan

0
SHARE

BEAUFORT: Lebih 1,000 mangsa banjir melibatkan dua zon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan menerima bantuan bakul makanan bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, bantuan itu melibatkan mangsa banjir di Zon Bangkalalak dan Zon Suasa, yang disalurkan melalui Pejabat Daerah Beaufort sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri.

“Harapan kami agar sumbangan ini dapat sedikit sebanyak membantu mangsa banjir, sama ada mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara atau yang kekal di rumah masing-masing, khususnya mereka yang terjejas sumber kewangan dan hasil pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir di kawasan berkenaan, pada Khamis lalu.

Turut hadir Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.

Mengulas kemungkinan gelombang kedua banjir di negeri ini, Ruslan berkata pihak berkaitan telah bersiap sedia termasuk merancang penyaluran bantuan ke beberapa zon lain di DUN Lumadan yang masih belum menerima bantuan.

Antara zon terlibat ialah Padas Damit, Kebajang, Gadong, Lupak, Padas Valley, Beaufort Selatan dan Bukau. Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk agar sentiasa bersedia dengan bekalan makanan dan keperluan harian, khususnya selepas sesi persekolahan kembali berjalan seperti biasa.

Dalam perkembangan sama, Ruslan memaklumkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah membuka pendaftaran mangsa banjir melalui imbasan kod QR bagi memastikan bantuan Kerajaan Persekutuan dapat disalurkan secara lebih tepat dan menyeluruh.

“Setakat ini, seramai kira-kira 600 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara, manakala lebih 7,000 lagi direkodkan berada di luar pusat pemindahan,” katanya.