PEGUAM IBU BAPA ZYAN RAYYAN TARIK DIRI

PEGUAM IBU BAPA ZYAN RAYYAN TARIK DIRI

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang kini sedang ditahan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dilaporkan sudah tidak diwakili oleh peguam mereka bermula hari ini selepas peguam berkenaan menarik diri daripada kes tersebut.

Memetik Harian Metro, Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co berkata, dirinya tidak lagi mewakili ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Saya berdoa supaya perjalanan kes ini berjalan lancar mengikut proses undang-undang sedia ada…

“Sebagai pengamal undang-undang, saya ingin menasihati semua pihak supaya menghormati proses undang-undang dan tidak membuat spekulasi liar mengenai kes ini demi kebaikan bersama,” katanya.

Sebelum ini, Mahmud dilantik keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan berusia 28 tahun itu ditahan polis di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit direman seminggu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air kira-kira 200 meter dari rumahnya pada jam 9 malam.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang oleh keluarganya.