SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung penamaan semula Masjid Jamek Kuala Lumpur sebagai Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.
Setiausaha sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani berkata Sultan Selangor berharap masjid tertua di ibu negara yang dirasmikan oleh Almarhum Sultan Ala’eddin Suleiman Shah pada 1909, akan menjadi mercu tanda dan tempat bagi umat Islam beribadah serta menjalinkan silaturahim.
“Sultan Selangor menyampaikan ucapan terima kasih kepada Najib dan Tengku Adnan setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, yang telah bersetuju dengan pendapat Sultan Selangor untuk menamakan semula Masjid Jamek Kuala Lumpur sebagai Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.
“Baginda juga berharap masjid ini dapat dijaga dengan baik dari segi kebersihan dan penyelenggaraannya supaya menjadi satu daripada tempat tarikan pelancongan yang unik di Malaysia,” katanya dalam kenyataan Jumaat.
Penamaan semula Masjid Jamek Kuala Lumpur adalah sempena mengambil nama Sultan Sir Abdul Samad Almarhum Raja Abdullah, Sultan Selangor keempat yang memerintah Selangor mulai 1857 hingga 1898.
Semasa pemerintahan Sultan Sir Abdul Samad, Kuala Lumpur mula membangun dengan pesat dengan adanya aktiviti perlombongan bijih timah dan pembinaan sistem pengangkutan kereta api Klang-Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur juga dijadikan sebagai ibu negeri Selangor ketika itu.
– Bernama