KUALA LUMPUR – Majoriti peminat kumpulan Coldplay di Malaysia meluahkan rasa kecewa kerana tiket persembahan Music Of The Spheres World Tour di Stadium Bukit Jalil pada 22 November habis dijual dalam tempoh tiga jam sejak 10 pagi Rabu.
Sejak awal pagi, peminat menggunakan pelbagai strategi untuk mendapatkan tiket konsert Coldplay termasuk menggunakan pelbagai peranti dan berpakat secara berkumpulan.
Rata-rata peminat kumpulan dari Britain itu meluahkan rasa hampa kerana gagal memiliki tiket.
Lebih parah apabila ramai ‘ulat tiket’ mengambil kesempatan dengan menjual semula tiket onsert dengan harga yang tidak masuk akal.
Lebih dikenali sebagai ‘scalper’, ulat tiket akan memajak tiket dan kemudian menjualnya semula dengan harga yang tidak masuk akal pada tarikh berhampiran konsert.
Pada laman media sosial Facebook, ada yang bertindak menjual tiket bagi tempat duduk di kategori 1 sehingga mencecah RM43,200 sedangkan harga asal yang dijual di laman web rasmi Go Live-Asia hanya RM1,288.
Harga tiket dijual antara RM228 ke RM3,088, namun terdapat juga harga lain iaitu RM2,108 sehingga RM1,258.
Pemegang tiket ini akan diberikan pengalaman lawatan ke belakang pentas melalui pintu masuk khusus, diberikan barang eksklusif dan hadiah direka khas.
Coldplay kini sedang berkunjung ke beberapa negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) sehingga Oktober sebelum meneruskan siri jelajah di Asia dan Australia.
“Buang masa 8 jam tanpa apa-apa. Tolonglah hentikan penjual semula tiket. Saya beratur dari semalam, tetapi tiada rezeki,” kata seorang pengguna Twitter.
“‘Sold out’ semua. Terima kasih ‘scammers’ dan ‘scalpers’! Aku harap, kamu semua mereput dalam neraka,” tulis seorang lagi.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata beliau akan membincangkan isu ‘scalper’ dengan Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Dalam Tweet, Fahmi berkongsi tangkapan layat daripada laporan berita yang menyatakan bahawa tiket Coldplay dijual semula sehingga RM43,000.
“Ini keterlaluan. Insya-Allah, saya akan bangkitkan perkara itu kepada Salahuddin,” katanya.