Pemimpin Akar Umbi Diminta Beri Komitmen Penuh Demi Kesejahteraan Rakyat

Pemimpin Akar Umbi Diminta Beri Komitmen Penuh Demi Kesejahteraan Rakyat

0
SHARE

RANAU, SABAH – Para pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi terutamanya di daerah ini diminta untuk memberikan komitmen penuh dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing demi kesejahteraan semua rakyat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam mahu para pemimpin seperti Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan Ketua Kampung melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin.

“Para pemimpin di peringkat akar umbi seharusnya telah tahu tentang tanggungjawab dan peranan masing-masing dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin…

“Sebagai mata dan telinga kepada Kerajaan di peringkat akar umbi, mereka juga bertanggungjawab untuk mengetahui sebarang masalah yang dihadapi rakyat di kawasan masing-masing dan membawanya ke agensi-agensi kerajaan yang berkenaan seperti Unit Pemimpjn Pembangunan Masyarakat (UPPM) atau Pejabat Daerah untuk tindakan selanjutnya.

“JPKK dan Ketua Kampung diberikan kuasa untuk menghubungi dan menyalurkan maklumat berkaitan ke pejabat-pejabat kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi sebarang aduan kerosakan kemudahan di kampung masing-masing.

“Tetapi jangan berhenti setakat itu sahaja, perlu juga terus buat tindakan susulan sehingga jabatan dan agensi kerajaan berkenaan selesai mengambil tindakan bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat,” kata Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, pada Majlis Ucapan Amanat ADUN Kundasang yang diadakan di Dewan Mini Kampung Perancangan, di sini, kelmarin.

Program anjuran bersama UPPM Kundasang dan Mahkamah Anak Negeri (MAN) itu disertai seramai 300 Pengerusi dan Setiausaha JPKK, Ketua Daerah, KAN, WKAN dan Ketua Kampung

Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Yubidi Gumpoyo.

Dr. Joachim juga meminta para pemimpin akar umbi mengenal pasti mereka yang betul- betul memerlukan bantuan tanpa sebarang pilih kasih.

“Jangan memilih apa juga parti politik mereka sokong. Manalah tahu, ada di antara yang memerlukan itu ialah ahli keluarga kita sendiri…

“Kerajaan yang sedia ada ini sebuah kerajaan yang banyak memberi bantuan. Tugas JPKK ialah memajukan kampung-kampung sendiri. Selain itu, JPKK juga perlu bekerjasama dengan pemegang-pemegang adat untuk memastikan semua rakyat berada dalam keadaan sejahtera,” ujarnya.

Mengenai permohonan untuk projek-projek pembangunan kampung, beliau meminta agar permohonan mereka dibuat melalui saluran yang betul dan dirujuk kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) bagi keperluan yang terlalu mendesak.

Sementara itu, Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, turut berbangga kerana program-program pemantapan adat sering diadakan di daerah ini, di bawah pimpinan Ketua Daerah yang baharu.

“Saya amat berbangga di daerah Ranau ini kerana Ketua Daerah baharu, Muhasip Hj. Ruman yang sering melaksanakan program-program pemantapan adat. Saya selalu dijemput bersama-sama dengan pemegang adat. Dan saya difahamkan sekarang sudah ada rujukan-rujukan,” katanya.

Dalam program berkenaan, Dr. Joachim turut menyampaikan sumbangan kerusi kepada 400 buah kerusi kepada lapan buah kampung dalam DUN berkenaan.