Pesta Bola Merdeka Piala SMJ, Sabah Mara Ke Final

Pesta Bola Merdeka Piala SMJ, Sabah Mara Ke Final

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan Sabah mara ke perlawanan akhir kategori ‘Super’ Kejohanan Pesta Bola Merdeka Piala SMJ 2022 selepas membenam Sarawak 3-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium Likas, di sini, semalam.

Henry Soimpon membuka tirai jaringan pada minit ke-16 hasil tandukan lambung yang mengelirukan penjaga gol dan seterusnya bola terus menggegar jaring bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Gol itu ternyata menaikkan semangat pasukan tuan rumah untuk terus memburu jaringan dan berjaya memperolehi gol kedua pada minit ke-31 hasil cubaan kaki kiri Noorizan Jail dari dalam kotak penalti bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Tujuh minit kemudian, Noorizan sekali lagi mempamerkan penyudah baiknya apabila meledak gol ketiga dan kedudukan 3-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama…

Bermula separuh masa kedua, Sarawak cuba mencari gol pertama mereka di awal permainan namun gagal menembusi pertahanan Sabah yang dikemudi ‘badang’ Jelius Ating.

Kedudukan 3-0 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat seterusnya mengesahkan kemenangan bergaya tuan rumah.

Sementara itu, Pengurus Sabah Sernam Singh berkata, beliau sangat gembira kerana mereka berjaya mencapai sasaran untuk mara ke final.

Katanya, dua perlawanan yang diharungi sebelum ini bukanlah mudah bagi mereka, terutama aksi pertama bertemu Brunei.

Bagaimanapun, beliau berkata, berkat kesungguhan kesemua pemain, segala penat lelah mereka akhirnya berbaloi apabila berjaya mara ke final.

“Memang sasaran kita ke final, pemilihan pemain untuk kejohanan ini juga kita buat dengan teliti, syukur semuanya berjalan lancar, termasuk perjalanan kita ke final…

“Sasaran ke final sudah tercapai, sudah pasti lepas ini kami mahu buru kejuaraan, kami sudah bersedia walau pasukan mana pun yang kita akan temui,” katanya.

Sabah bakal bertemu pemenang antara Sabah SMJ dan Indonesia yang kini masih berlangsung.

Terdahulu, hari ini, Selangor dan Brunei berjaya melangkah ke peringkat akhir kategori ‘Premier’.

Dalam perlawanan petang tadi, Selangor menundukkan Singapura 1-0 di Padang Sintetik Likas manakala Johor menewaskan Brunei 2-1 di Padang Sukma A, dekat sini.

Pasukan yang tewas iaitu Singapura dan Johor bakal bermain untuk penentuan tempat ketiga kategori sama, esok.