TAWAU, SABAH – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyediakan 26 unit set penjana mudah alih untuk meningkatkan margin simpanan tenaga dalam sistem grid elektrik di Sabah.
Memetik sumber Bernama, Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Idris Mohd Noor berkata sebanyak 11 unit set penjana mudah alih telah dipasang di Kota Kinabalu dan Tawau, dengan tambahan 15 unit akan dipasang di lokasi strategik di negeri minggu depan setakat 2 Mei lalu sehingga Rabu.
“Cuaca panas terik yang melanda sejak kebelakangan ini adalah antara punca penggunaan elektrik meningkat secara mendadak, dengan penggunaan elektrik di seluruh Sabah dan Labuan telah mencapai tahap tertinggi iaitu 1080 MegaWatts (MW) pada bulan ini,” katanya.
Beliau berkata permintaan elektrik yang tinggi memberi kesan langsung kepada sistem grid Sabah, tetapi SESB hanya akan menguat-kuasakan catuan bekalan terhadap pengguna apabila mereka tiada pilihan lain.
“Masalah kekurangan kapasiti penjanaan elektrik ini juga menyebabkan purata 20-30MW tenaga elektrik akan dicatuan pada masa beban puncak, yang biasanya bermula dari 2 petang hingga 4 petang dan 7 malam hingga 9 malam,” tambahnya.






