MMA Sabah Gesa Kerajaan Sedia Rumah Transit Khas Untuk Kanak-Kanak Pesakit Kanser

MMA Sabah Gesa Kerajaan Sedia Rumah Transit Khas Untuk Kanak-Kanak Pesakit Kanser

0
SHARE

KOTA KINABALU: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah menggesa Kerajaan Negeri menyediakan rumah transit khas berhampiran Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) bagi membantu keluarga pesakit kanser kanak-kanak yang terpaksa menjalani rawatan berpanjangan di Kota Kinabalu.

Pengerusinya, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, kemudahan itu amat diperlukan khususnya bagi keluarga dari kawasan luar bandar yang berdepan beban kos penginapan, pengangkutan dan sara hidup sepanjang tempoh rawatan anak mereka.

Beliau berkata, Unit Onkologi Pediatrik HWKKS menerima kira-kira 80 hingga 100 kes baharu kanser kanak-kanak setiap tahun, dengan hampir separuh pesakit berasal dari luar daerah Kota Kinabalu termasuk Pitas, Kota Marudu dan Kudat.

“Sabah amat memerlukan sebuah rumah transit atau kemudahan penginapan sementara khusus untuk kanak-kanak yang menjalani rawatan kanser serta penjaga mereka.

“Apa yang diperlukan oleh keluarga terbabit ialah tempat penginapan yang selamat, bersih dan mampu milik berhampiran hospital,” katanya dalam kenyataan sempena Bulan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak, hari ini.

Brandon berkata, sebahagian besar pesakit menghidap leukemia akut yang memerlukan rawatan intensif, malah ada yang perlu menjalani rawatan sehingga lapan bulan di Kota Kinabalu.

Menurutnya, walaupun Rumah Ronald McDonald sedia ada membantu keluarga pesakit, kapasiti kemudahan itu tidak mencukupi kerana turut menampung keluarga daripada perkhidmatan perubatan lain.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya bangunan kerajaan berhampiran hospital dimanfaatkan atau diubah suai sebagai rumah transit, selain meneroka kerjasama dengan pertubuhan kebajikan dan sektor swasta.

Beliau berkata, penyediaan kemudahan berkenaan penting bagi mengurangkan beban kewangan keluarga dan memastikan pesakit kanak-kanak dapat meneruskan rawatan tanpa terhalang oleh masalah penginapan.

“Tiada seorang pun kanak-kanak Sabah yang sedang berjuang melawan kanser sepatutnya menghadapi kesukaran tambahan dalam menjalani rawatan hanya kerana keluarga mereka tidak mempunyai tempat untuk menginap,” katanya.

Terdahulu, MMA Sabah menyerahkan 20 kit penjagaan kepada Unit Onkologi Pediatrik HWKKS bagi membantu pesakit kanser kanak-kanak yang baru didiagnosis.