LKTNS Serah Pendapatan dan Dividen RM21.3 Juta kepada Peneroka di Sabah

LKTNS Serah Pendapatan dan Dividen RM21.3 Juta kepada Peneroka di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) menyerahkan pendapatan dan dividen berjumlah RM21.3 juta kepada wakil peneroka dan peserta dari Wilayah Pantai Timur serta Pantai Barat Sabah, hari ini.

Replika cek pendapatan dan dividen itu diserahkan oleh Pengurus Besar LKTNS, Datuk Syaheddrul R. Joddari kepada wakil peneroka, Mohd Adzlie Jaidih, dan disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, pada majlis ringkas yang berlangsung di Pejabat Ketua Menteri di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.

Menurut Datuk Syaheddrul, walaupun berdepan pelbagai cabaran, LKTNS kekal komited memastikan kebajikan peneroka dan peserta terus terpelihara melalui pengurusan yang berhemah serta pelaksanaan strategi pembangunan yang mampan.

Beliau berkata, agihan pendapatan dan dividen kepada 2,119 peneroka LKTNS itu juga merupakan manifestasi sokongan terhadap komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan dalam usaha membasmi kemiskinan serta memperkukuh ekonomi masyarakat luar bandar.