KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah melaksanakan 136,600 pemeriksaan premis sepanjang Januari hingga November 2025, meningkat hampir dua kali ganda berbanding 67,972 pemeriksaan pada tahun 2024.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sabah, Peter J. Berinus Agang, berkata, pemeriksaan bertujuan memastikan bekalan barang keperluan sentiasa mencukupi dan aktiviti perniagaan dijalankan mengikut undang-undang sekaligus melindungi pengguna serta membanteras ketirisan barang kawalan.
Beliau menambah, hasil pemeriksaan membawa kepada 1,534 tindakan kes dengan nilai rampasan sebanyak RM30,378,881.51 dan kompaun RM662,250, manakala 96 kes telah dituduh di mahkamah.
“Sepanjang tahun ini, KPDN Sabah menerima 1,967 aduan, dengan 1,861 daripadanya berjaya diselesaikan.
“Agensi turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik seperti PDRM, Jabatan Kastam, Pasukan Polis Marin dan pihak berkuasa tempatan atas kerjasama membantu membanteras ketirisan subsidi dan barang kawalan,” katanya.






