Hasrat PBM Tanding PRN Sabah Keruhkan Hubungan Erat Sabah, Sarawak

Hasrat PBM Tanding PRN Sabah Keruhkan Hubungan Erat Sabah, Sarawak

0
SHARE

KOTA KINABALU; Hasrat Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk bertanding pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang boleh mengeruhkan hubungan erat antara Sabah dan Sarawak.

“Secara peribadi saya berpandangan, niat PBM itu lebih bersifat merosakan hubungan persefahaman kedua-dua negeri yang telahpun membentuk pakatan ‘Blok Borneo’, “kata Naib Presiden Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah.

“Tindakan yang bakal dilakukan PBM boleh mengaruhkan hubungan baik antara rakyat dan pemimpin Sabah dan Sarawak.

“Ini bukan pandangan Gagasan Rakyat, namun secara peribadi saya nyatakan cadangan PBM itu berniat jahat untuk mencetuskan pergolakan politik pemimpin kedua-dua negeri berjiran,” katanya ketika dihubungi semalam.

PBM yang bertapak di Sarawak akan melebarkan sayap ke Sabah untuk bertanding di tujuh kawasan dalam PRN Sabah ke-17 akan datang.

Terdahulu, Presiden PBM, Datuk Larry Sng mengumumkan parti itu berminat meletakan calon di kawasan Kadazan Dusun dan Murut, iaitu di Penampang, Kota Marudu, Ranau, Kota Belud, Tuaran, Putatan dan Pensiangan.

Masiung yang juga Wakil Rakyat Kuamut, berkata, walaupun PBM bukanlah parti yang menjadi ancaman kuat kepada Parti Gabungan Sabah (GRS) tetapi tindakan parti itu akan menjejaskan hubungan baik yang sedia wujud dalam Blok Borneo.

Katanya, semua parti politik dalam kerajaan dan pembangkang di Sabah dan Sarawak saling menghormati pendirian Blok Borneo dan tidak meletakan calon mereka dalam PRN kedua-dua negeri.

Menurutnya, tindakan PBM yang berpusat di Sarawak untuk mengembang sayap ke Sabah boleh mengundang perpecahan dalam persefahaman politik dalam Blok Borneo.