Lebih 2 Tan Minyak Masak Terpakai Dikumpul Melalui Pertandingan Sekolah di Kota...

Lebih 2 Tan Minyak Masak Terpakai Dikumpul Melalui Pertandingan Sekolah di Kota Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Lebih 2,000 kilogram minyak masak terpakai (UCO) berjaya dikumpul melalui Pertandingan Pengumpulan UCO melibatkan 13 sekolah sekitar Kota Kinabalu, anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama DBKK dan JCI Kota Kinabalu.

Pertandingan itu bertujuan memupuk kesedaran lestari dan menggalakkan pengurusan minyak masak terpakai sebagai bahan mentah penghasilan Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF).

SJKC Chung Hwa Likas muncul juara kategori sekolah rendah dengan kutipan 420kg, manakala SMK SANZAC menjuarai kategori sekolah menengah dengan 392.5kg.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, kejayaan mengumpul lebih dua tan minyak masak terpakai dalam tempoh dua bulan membuktikan keberkesanan pendidikan alam sekitar di sekolah.

Beliau menegaskan bahawa UCO kini mempunyai nilai ekonomi tinggi sebagai sumber utama SAF, selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN2030).

Menurut MPOB, Sabah hanya menyumbang 5,200 tan UCO pada 2024, bersamaan kurang 1.5 peratus daripada jumlah kebangsaan sebanyak 380,000 tan. Inisiatif seperti ini diharap menjadi pemangkin peningkatan kadar pengumpulan di negeri itu.

Chan turut menyeru lebih banyak sekolah, NGO dan komuniti tempatan menyertai usaha ini bagi menjana pendapatan tambahan isi rumah dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.