KOTA KINABALU: Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Lumadan, Datuk Mazlan Joehari Manan menegaskan bahawa budaya menukar kerajaan setiap penggal hanya akan merugikan rakyat dan menggugat kemajuan negeri.
Beliau berkata, Pilihan Raya Umum Negeri Sabah Ke-17 perlu dijadikan titik perubahan untuk membina semula kestabilan politik yang menjadi asas kepada pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat.
“Rakyat sudah bosan dengan politik yang tidak menentu. Hanya dengan kestabilan politik barulah pembangunan dapat berjalan lancar, ekonomi rakyat dapat diperkasa dan Sabah benar-benar maju,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya pada Ahad.
Mazlan menyeru rakyat agar bersatu di bawah parti-parti tempatan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan suara dan kepentingan negeri terus diperjuangkan secara kukuh di Dewan Undangan Sabah dan Parlimen.
Beliau turut menekankan pentingnya melaksanakan agenda pembangunan progresif berlandaskan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk memperkasa modal insan, membina jaringan infrastruktur asas dan memperkukuh ekonomi rakyat.
Menurutnya, pelbagai projek di bawah inisiatif tersebut akan mula memberi impak nyata kepada rakyat bermula tahun 2026.
Mazlan juga menegaskan bahawa hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia mesti terus dipertahankan melalui rundingan berhemah dengan Kerajaan Persekutuan agar membawa hasil yang sebenar, bukan sekadar janji.
“Perjuangan ini bukan perjuangan seorang, tetapi perjuangan seluruh rakyat Sabah. Kita mesti rapatkan barisan, kukuhkan perpaduan dan tolak politik lama yang hanya menyusahkan rakyat,” katanya.
Beliau sekali lagi menyeru rakyat agar menolak parti pembangkang seperti Warisan dan Barisan Nasional yang dianggap gagal membawa hala tuju jelas, serta terus memberi mandat kepada GRS untuk meneruskan usaha membangunkan Sabah ke arah negeri yang lebih stabil, maju dan sejahtera.






