TAMPARULI, 26 Okt — Kekuatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN Tamparuli dijangka kekal kukuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, meskipun berdepan cabaran daripada beberapa parti tempatan dan calon luar kawasan.
Difahamkan, antara nama yang disebut-sebut berpotensi mencabar kerusi tradisi Parti Bersatu Sabah (PBS) itu ialah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Tuaran merangkap Presiden Kehormat UPKO, yang dilapor meninjau peluang untuk bertanding di Tamparuli.
UPKO, sebagai komponen Pakatan Harapan (PH), dan PBS di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Kedua-dua parti kini menjadi sebahagian daripada pakatan pilihan raya berbeza, mewujudkan senario yang boleh menguji kemampuan mereka mengelak pertindihan tuntutan di kawasan tradisi masyarakat Kadazandusun Murut (KDM).

Kerusi DUN Tamparuli kini disandang oleh Naib Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah. Pada PRN Sabah 2020, beliau menang dengan majoriti 1,168 undi, menewaskan calon WARISAN, Joana Sue Henley Emperumal, dan tiga calon lain.
Jahid yang berkhidmat sejak 2013 terus dilihat sebagai antara tokoh penting dalam kepimpinan PBS dan GRS di kawasan ini.
Timbalan Ketua Bahagian PBS N14 Tamparuli, Madin Anak menegaskan rakyat tempatan masih memberi kepercayaan kepada PBS kerana pemimpin tempatan sentiasa turun padang dan menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat.
“Rakyat Tamparuli tahu siapa yang bekerja dan siapa yang hanya muncul masa pilihan raya. Calon luar boleh datang, tapi mereka bukan orang sini, rakyat tidak mudah lupa,” katanya.
Beliau yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) kawasan berkenaan, turut menyindir calon tertentu yang pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah di zaman Warisan, tetapi gagal membawa pembangunan sewaktu memegang jawatan itu.
“Dulu masa ada kuasa pun tidak buat apa-apa. Sekarang mahu datang balik ke Tamparuli. Tapi saya yakin rakyat tidak akan terpedaya,” katanya tanpa menamakan individu berkenaan.

Untuk rekod, Madius pernah bertanding di DUN Kiulu pada PRN Sabah 2020 atas tiket Warisan–UPKO, namun tewas kepada calon PBS Datuk Joniston Bangkuai dengan majoriti lebih 1,400 undi. Kekalahan itu menyaksikan beliau kekal hanya sebagai Ahli Parlimen Tuaran.
Madin berkata, kemasukan calon luar berisiko memecahkan undi dalam kalangan masyarakat setempat, namun beliau yakin PBS dan GRS masih akan mengekalkan penguasaan di Tamparuli berdasarkan sokongan akar umbi yang kukuh.
“Kalau ada pun saingan, ia tidak akan beri kesan besar. Rakyat sini lebih kenal pemimpin mereka sendiri,” ujarnya.
Beliau menambah, rakyat kini lebih matang dan menolak budaya lompat parti serta politik fitnah yang memecahbelahkan masyarakat.
“Rakyat sudah nampak kerja sebenar kerajaan sekarang. Banyak projek siap lima tahun kebelakangan ini — jalan kampung, bantuan rumah, pertanian, pendidikan. Itu bukti, bukan janji,” katanya.
Madin turut menzahirkan keyakinan bahawa PBS dan GRS akan terus mendapat mandat rakyat Tamparuli berdasarkan rekod pembangunan serta hubungan baik dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
DUN Tamparuli mempunyai kira-kira 26,700 pengundi berdaftar terkini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa bagi Pilihan Raya Umum Sabah Ke-17 (PRU17).






